
PERATUSAN vaksinasi populasi dewasa di Malaysia sehingga semalam adalah 83.1 peratus membabitkan 19,481,412 individu yang lengkap vaksinasi.
Manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah sebanyak 93.7 peratus atau 22,715,504 individu menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin kini, setakat semalam adalah 42,106,397 dos.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Twitternya, jumlah dos vaksin yang diberikan semalam adalah 259,141 dos.
Sebanyak 114,618 dos adalah dos satu daripada dua dos dan 144,523 dos lengkap.
Peratusan populasi keseluruhan di Malaysia yang lengkap vaksinasi adalah 59.7 peratus, manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 69.6 peratus.
Jumlah populasi dewasa di Lembah Klang yang lengkap vaksinasi kini sudah melebihi 100 peratus iaitu 109.1 peratus, diikuti Labuan 98.2 peratus dan Negeri Sembilan 96 peratus.
Sarawak juga mencatatkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi yang tinggi iaitu 89.3 peratus, manakala Perlis (88.6), Melaka (85.3) dan Terengganu 82.1 peratus.
Dua negeri kini merekodkan kadar vaksinasi lengkap lebih 70 peratus bagi populasi dewasa iaitu Pulau Pinang 78.9 peratus dan Johor 76.3 peratus.
Pahang pula mencatatkan 68.2 peratus, diikuti Kedah (67.5), Perak (67) dan Kelantan (65.5), manakala Sabah hanya mencatatkan 58.3 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. – Malaysiapost
