Bayi mangsa hempas pengasuh bakal jalani pembedahan ketiga

0
1

BAYI lelaki berusia tujuh bulan yang dihempas pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, Rabu lalu, dilaporkan akan menjalani pembedahan untuk kali ketiga.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook ibunya Eyna Myeina yang menjelaskan pembedahan berkenaan bertujuan untuk memasukkan tiub dari otak ke badan mangsa.

Jelas wanita itu, pembedahan tersebut juga kemungkinan menyebabkan risiko sekiranya berlaku jangkitan kuman.

“Baru je jumpa doktor..Kalau adik kuat mungkin doktor akan cabut tiub air otak dalam berapa hari ni.

“Tapi kemungkinannya adik mungkin operate untuk kali ke-3, tiub akan dimasukkan dari otak ke dalam badan,” katanya.

Malah, ibu mangsa juga menyifatkan dugaan yang dihadapinya kali ini sangat berat serta mendoakan agar ada keajaiban berlaku.

“Result ct scan semalam kawasan gelap kat otak tu kawasan stroke.. Ya Allah berilah aku peluang lagi… Harap adalah keajaiban… Ummi sentiasa tunggu adik, adik sihat ye.

“Alhamdulillah terima kasih kepada sahabat-sahabat yang tak pernah jemu putus-putus mendoakan baby,” katanya.

Jelas wanita itu lagi, kini ubat tidur yang diberikan doktor sudah dikurangkan dan bayinya sudah membuka mata, memberi respon serta melakukan sedikit pergerakan.

“Setakat ni adik masih pakai alat pernafasan dan belum stabil sangat cuma muka baby nampak bengkak mungkin sebab operation.

“Biar adik rehat ummi tak nak kacau sangat.. ummi cuma datang jenguk-jenguk kejap je.. semoga adik sihat .. semoga Allah mengkabulkan doa-dia kita,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran terdahulu, wanita itu menzahirkan rasa kesal dengan tindakan wanita itu memperlakukan bayinya seperti binatang.

“Bayangkanlah baby sebesar ni yang memerlukan perhatian dan kasih sayang di perlakukan seperti binatang dihempas-hempas.

“Allah anak ummi, ummi rindu sangat-sangat dengan adik. Betapa sakitnya hati ini, Ya Allah berilah aku kesempatan menebus dosa-dosa dengan anakku ni… Allah aku betul-betul berdosa bagi orang jaga adik,” katanya.

Khamis lalu, polis menahan seorang pengasuh selepas disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan di Ipoh, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa bayi berkenaan pada jam kira-kira 3.03 pagi kejadian.

Katanya, pada jam 7.10 pagi Rabu lalu mangsa dihantar oleh bapa kandung ke rumah pengasuh iaitu wanita berusia 22 tahun dalam keadaan sihat dan baik.

“Berdasarkan maklumat awal suspek dikatakan telah menghempas kepala mangsa sebanyak dua kali ke lantai kerana marah setelah bayi itu menangis tidak berhenti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here