REKOD tanpa kalah Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris lebur di tangan Aston Villa apabila tewas 0-1 di Old Trafford malam tadi.
Kortnet Hause muncul wira pasukan pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum tiupan wisel penamat.
United berpeluang menyamakan kedudukan apabila memperoleh penalti pada masa kecederaan namun sepakan Bruno Fernandez tinggi melepasi palang sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah.
Anak didik Ole Gunnar Solksjaer itu harus menyalahkan diri apabila menampilkan prestasi hambar manakala Villa mempamerkan aksi cemerlang sebaik wisel permulaan ditiup.
Skuad Red Devils yang tersingkir daripada kejohanan Piala Liga pertengahan minggu ini dilihat terpaksa bertahan dengan beberapa serangan Villa yang memperoleh sekurang-kurangnya dua peluang keemasan pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, United cuba mengasak mencari gol pendahuluan namun dikejutkan dengan jaringan Hause.
Sementara itu, Manchester City meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea apabila menang tipis 1-0 dalam aksi liga berasingan di Stamford Bridge, hari ini.
Bertandang ke gelanggang lawan, City menguasai perlawanan sejak tiupan wisel permulaan.
Namun aksi pertahanan kental dipamer anak buah Tuchel menghalang City menembusi kubu mereka.
Meskipun bertahan, sekali-sekala serangan yang dilancarkan Chelsea menerusi gandingan Roman Lukaku dan Timor Werner mencemaskan gawang gol City yang dikawal.
Memasuki babak kedua, City terus menekan Chelsea dengan melancar serangan ke kubu lawan.
Usaha mereka berhasil, apabila sepakan Gabriel Jesus menewaskan Edouard Mendy pada minit ke-53.
Permainan menjadi rancak dengan Chelsea berusaha sedaya upaya mencari gol penyamaan.
Namun tiada jaringan gol terhasil oleh kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus memberi tiga mata kepada juara bertahan itu. – Malaysiapost

