KEMENTERIAN Kesihatan belum mendapat laporan kesan sampingan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata memang diakui bahawa kemungkinan ada kesan seperti radang pada otot jantung dan radang selaput jantung namun ia berlaku di luar negara.
Menurutnya, setakat ini, tiada laporan vaksin jenis Pfizer diberikan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia mendatangkan kesan sampingan.
“Risiko kesan sampingan selepas menerima vaksin amat rendah namun kebaikan vaksin jauh lebih baik daripada terkena Covid-19,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Dr Noor Azmi berkata, setakat semalam seramai 681,853 remaja telah mendapat suntikan dos pertama sejak 20 September lalu manakala 108,935 lagi telah menerima dos kedua.
“Ini bermakna 26.9 peratus remaja sudah menerima suntikan dos pertama dan 4.3 peratus telah lengkap vaksinasi sejak program ini dilancarkan pada 20 September lalu,” katanya.-Malaysiapost
Foto kredit Utusan Malaysia

