Tak wajar kerajaan kembali kepada cabutan khas judi 22 kali

0
1
shahir adnan ikatan

KERAJAAN seharusnya tidak kembali kepada cabutan khas judi 22 kali setahun ketika rakyat dan negara dilanda musibah kesihatan dan ekonomi, kata Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 menetapkan cabutan khas sebanyak 22 kali setahun, namun dikurangkan kepada 11 kali pada 2019 dan dikurangkan lagi kepada lapan pada 2020.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang jelas mengundang pelbagai masalah sosial.

“Harus diingat, kerajaan mengizinkan syarikat judi mengadakan tiga hari cabutan seminggu, dengan jumlah 156 hari cabutan setahun. Maka cabutan khas ini adalah tambahan 22 hari, menjadikan jumlah cabutan setahun sebanyak 178 hari.

“Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian merupakan golongan B40 dengan mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan mendapat hadiah besar.

“Masalahnya, judi menyebabkan ketagihan dan mengakibatkan masalah sosial lain seperti keganasan rumah tangga, kecurian dan jenayah lain. Ini tidak termasuk isu hutang hingga mengakibatkan nyawa terancam.

“Cabutan khas menyebabkan ramai terus mencuba nasib untuk menang. Walhal, syarikat judi yang sebenarnya untung sakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan boleh menjana pendapatan melalui cukai-cukai lain melibatkan perniagaan “yang membina” masyarakat, bukannya melalui cukai perjudian yang mencetus masalah sosial, hasil belian nombor judi oleh rakyat sendiri.

Katanya, cukai hasil kepada kerajaan boleh dijana melalui cukai perniagaan dan perkhidmatan yang berkaitan Covid-19 kerana kebanyakan syarikat gergasi tersebut mendapat keuntungan berlipat kali ganda melalui penjualan sarung tangan getah, picagari dan lain-lain.

“DPIM menyeru Menteri Kewangan memperhalusi keputusan ini agar rakyat tidak membazir duit mereka untuk berjudi, sebaliknya digunakan untuk perkara yang memberi manfaat kepada mereka.

“Kita tidak mahu bantuan tunai kerajaan pada waktu pandemik ini digunakan segelintir rakyat untuk berjudi. Dasar kerajaan perlulah menjadi cerminan halatuju negara dan rakyat.

Kenapa kita perlu ambil langkah ke belakang yang tempang? Perkara baik perlu diteruskan walaupun ianya datang dari pihak Pakatan Harapan. Inilah politik matang anak muda hari ini.,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here