MAJLIS Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam, dimaklumkan lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan kerajaan setakat 10 September 2021.
Majlis berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan masing-masing dianggotai 12 menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan wakil sektor swasta.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara, berkata kejayaan menempatkan pekerja tersebut melebihi sasaran ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September 2021.
Katanya, ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai.
“Selain itu, kerajaan berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76% daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.
” Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) yang akan disokong oleh lima specialised taskforce di bawah NEC.
Menurutnya, penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkatkan melalui enam teras utama iaitu meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik.
“Kedua, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri. Ketiga, memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa. Keempat, memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan.
“Kelima, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden dan akhir, mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.
“Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cadangan NJCSP adalah pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia.
“Serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.
“Selain itu, Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.
“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada PERKESO.
“Bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal
MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian. – Malaysiapost

