DATUK Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pengusaha khemah di sekitar pantai Port Dickson untuk menyimpan dahulu khemah dan hanya memasangnya jika ada permintaan daripada pengunjung yang berminat dengan perkhidmatan ditawarkan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menerima rungutan dan aduan para pengunjung mengenai situasi yang dihadapi mereka dan para pengusaha khemah di pantai tersebut.
“Perkara ini saya percaya dapat diselesaikan dengan baik dan memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
“Justeru, pengunjung dan pengusaha khemah juga harus memastikan pantai sentiasa bersih serta terapkan inisiatif pembersihan pantai seperti yang digerakkan pelbagai pihak termasuk Kedutaan Thailand ke Malaysia dan Veritas Eco-Warriors, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar meminta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk membuat pemantauan dan operasi jika perlu bagi memastikan pantai dalam keadaan baik dan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan.
Pada 21 September lalu, media melaporkan Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada pengunjung pantai yang terganggu dengan pengusaha khemah.
Pihak MPPD menerima aduan dan rungutan daripada pengunjung pantai yang diganggu pengusaha khemah meminta mereka berpindah dan mengalihkan barang semata-mata untuk memacak khemah berkenaan.- Malaysiapost

