[PARLIMEN] TIADA majikan didapati bersalah dan dikenakan denda kerana memberhentikan pekerja sejak awal tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata majikan yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda maksimum RM10,000 jika didapati bersalah.
“Namun, sehingga hari ini, tiada majikan dikenakan tindakan itu. Semua majikan memenuhi peraturan,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH- Jelutong), hari ini.
Rayer mahu menteri terbabit menyatakan jumlah pekerja yang diberhentikan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.
Saravanan berkata, majikan dikehendaki menghantar borang pemberhentian pekerja 30 hari sebelum pekerja mereka diberhentikan.
“Tindakan itu demi memastikan hak pekerja dilindungi dengan disusuli terma pembayaran dibuat majikan,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata hampir 156,000 rakyat dibuang kerja sejak awal tahun lalu membabitkan 6,000 majikan.
Dalam jawapan bertulis itu Saravanan berkata, 141,191 pekerja berasal dari Semenanjung, manakala 8,996 dari Sarawak dan 5,706 dari Sabah.
Katanya, kumpulan pekerja yang terjejas terdiri daripada sektor perkhidmatan, pembinaan, perkhidmatan sokongan, dan pentadbiran. – Malaysiapost

