Najib cadang ‘lockdown’ 7 hari jika kes naik

0
1

DATUK Seri Najib Razak mencadangkan ‘lockdown’ yang ketat dan singkat sekurang-kurangnya seminggu sahaja, jika kes Covid-19 meningkat semula sehingga kadar jumlah penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 85 peratus.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cadangan tersebut dibuat supaya negara tidak menempuh satu lagi tempoh panjang serta kegagalan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

“Seperti yang saya sebut dalam Dewan Rakyat minggu lepas, kita perlu faham bahawa negara dalam PKP selama enam bulan daripada sembilan bulan tahun ini. Satu tempoh yang begitu panjang, jadi macam mana perniagaan boleh bertahan begitu lama?

“Peluang untuk sekali lagi melaksanakan total lockdown yang amat ketat seperti semasa PKP 1.0 tahun lepas sudah berlalu, apabila peluang itu dipersia-siakan kerajaan dahulu yang membuat PKP 2.0 dan PKP 3.0 separuh masak,” katanya menerusi Facebook.

Namun, beliau berkata, dengan kelonggaran dan pembukaan semula ekonomi baru-baru ini, ada kemungkinan kes Covid-19 akan meningkat semula, seperti dialami negara-negara lain yang memberi kelonggaran setelah mencatat paras vaksinasi tinggi.

“Jadi, sekiranya kes meningkat semula sehingga kadar jumlah katil di ICU melebihi 85% bagi mana-mana negeri, sekatan pemutus litar, dengan izin ‘circuit breaker’ atau lockdown paling ketat dan singkat selama antara lima hingga tujuh hari sahaja dengan jaminan ia tidak akan dilanjutkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya kerajaan tidak melaksanakan lagi lockdown separuh masak yang berbulan-bulan lamanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here