PEMBERIAN vaksinasi remaja dilaksanakan secara berjadual di 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, Integrasi dan sekolah yang bermula hari ini, bagi mengelakkan kesesakan di pusat berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, melalui pendekatan itu pemberian vaksinasi secara walk-in hanya dibenarkan untuk remaja tidak bersekolah, yang sedang belajar di IPTA dan IPTS serta remaja bersekolah di rumah (home schooling).
Katanya, perkara itu telah ditegaskan beliau dan Timbalan Menteri Pendidikan 1 semasa sesi sidang media pada 22 September 2021.
Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa tidak perlu bergegas ke PPV bersama anak untuk vaksinasi kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pendidikan Daerah terlebih awal.
“Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga.
“Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan,” katanya.
Jelasnya, kaedah vaksinasi berjadual ini dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19.
“Justeru, bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera di mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka,”
“Kementerian Kesihatan turut memberi jaminan bekalan vaksin untuk remaja adalah mencukupi dan kesemua remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diberi vaksinasi samada di PPV atau sekolah,” katanya. – Malaysiapost

