KERAJAAN akan terus komited memastikan kadar capaian internet berkelajuan tinggi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu akan direalisasikan menerusi pelaksanaan projek pembinaan tapak menara telekomunikasi baharu, menaik taraf pemancar sedia ada, menyediakan premis dengan gentian optik dan jalur lebar satelit.
“Komitmen untuk menjaya misi ini adalah satu komitmen nasional besar.
“Justeru, tidak dapat tidak ia perlu dijayakan selaras dengan konsep yang kementerian anjurkan iaitu kesalinghubungan adalah hak asasi manusia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Annuar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen (Bersatu-Beaufort), Datuk Azizah Mohd Dun yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah langkah diambil kerajaan bagi meningkatkan kadar capaian internet di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak terutama di luar bandar.
Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, sebanyak 538 tapak menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 51 telah siapkan, 2,041 stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,500 stesen di Sabah.
Beliau berkata sebanyak 81,268 daripada 251,165 premis menerima gentian optik sementara di 138 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.
Di Sarawak pula terdapat 823 menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 74 sudah siap; 1,615 daripada 3,012 stesen pemancar dinaik taraf; 47,233 daripada 73,588 premis menerima gentian optik, manakala 523 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit. – Malaysiapost

