KJ jamin rentas negeri tidak lonjak kes Covid-19

0
1

KEBENARAN pergerakan rentas negeri sekiranya liputan imunisasi mencapai 90 peratus dijangka tidak mencetus gelombang peningkatan kes Covid-19.

Perkara itu dijelaskan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata, sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

“Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia.

“Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

“Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan.

“Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here