Sultan Selangor dukacita guru KAFA, pegawai masjid enggan vaksin

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa terhadap kedegilan sebahagian guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih enggan divaksinasi, walaupun diberikan kemudahan berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 individu yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

“Lebih mendukacitakan Baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

“Titah Baginda, apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

“Tegas Baginda lagi, pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan khususnya daripada gesaan Baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ia termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

“Namun apa yang berlaku amat mendukacitakan Baginda. Justeru, baginda akan meneliti nama-nama Guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin.

“Satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Kredit foto : Media Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here