WHO iktiraf Hospital Medan ATM – Hishammuddin

0
2

HOSPITAL Medan Angkatan Tentera Malaysia telah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, salah satu pengiktirafan yang diberi WHO adalah Hospital Medan ATM di Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Pengiktirafan ini membuktikan ATM memiliki keupayaan dan kewibawaan melaksanakan operasi ketenteraan selain perang khususnya berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana,

“Malah, pengiktirafan WHO ini menobatkan Hospital Medan Malaysia sebagai Hospital Medan Tahap 3 terbaik, terlengkap dan sangat dipercayai,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan juga bersedia membina lebih banyak hospital medan di negara ini.

Menurutnya, komitmen tersebut kini hanya bergantung kepada persetujuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Buat masa ini sememangnya kaedah pembinaan hospital medan dibuat secara hibrid melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM.

“Setakat ini, sebanyak lapan buah hospital medan ATM telah didirikan seluruh negara.

“Semalam (Selasa), saya terima permintaan daripada kerajaan negeri Kedah untuk membina satu lagi hospital medan untuk ATM di Kedah. Namun ia bergantung kepada persetujuan KKM kerana ATM sentiasa siap sedia untuk melaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dan arahan KKM,” katanya.

Sementara itu, beliau menjawab soalan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang mencadangkan pembinaan Hospital Medan ATM dengan mengambil model pembinaan hospital secara hibrid yang dilaksanakan di Wuhan oleh Kerajaan Republik Rakyat China.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mencontohi amalan terbaik yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa termasuk konsep pembinaan.

“Buat masa ini, kita di Malaysia, kaedah pembinaan Hospital Medan dibuat secara hibrid melalui kerjasama ATM dan KKM.

“Setakat ini sebanyak lapan buah Hospital Medan ATM telah didirikan di seluruh negara bagi membantu petugas KKM merawat pesakit Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here