Harap harga ayam lepas ni lebih stabil – Najib

0
1
Tinjauan Malaysiapost berkaitan harga ayam di Pasar Seksyen 6 Shah Alam hari ini.

KERAJAAN dilihat mengambil langkah tepat dengan menyasarkan punca utama kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan ayam iaitu dedak yang naik harganya sejak tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata cara lama dengan mengawal harga ayam tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga dan hanya akan mengakibatkan kekurangan bekalan ayam.

“Akhirnya kerajaan akan sasar dan menyelesaikan punca utama kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam iaitu harga dedak yang naik berganda sejak tahun lepas.

“Cara lama iaitu untuk mengenakan kawalan harga maksimum ke atas ayam tidak akan menyelesaikan masalah dan hanya akan menyebabkan kekurangan bekalan ayam.

“Sebab siapa yang nak ternak jika terpaksa menjual pada harga yang lebih rendah berbanding harga pengeluaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berharap, selepas ini harga ayam akan lebih stabil dan rendah sebab ianya merupakan makanan asas bagi sebahagian besar rakyat pada ketika pendapatan masih terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian itu akan membabitkan Kementerian Kewangan dalam mencari penyelesaian yang boleh menstabilkan harga ayam untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, kenaikan harga ayam dikenal pasti berpunca daripada beberapa faktor termasuk harga makanan ayam dikatakan, meningkat (komponen makanan ayam seperti jagung dan soya) yang diimport dari luar negara.

Purata harga ayam di seluruh negara kini adalah sekitar RM8.79 sekilogram, turun berbanding sekitar RM11 hingga RM11.50 yang direkodkan dua minggu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here