PEMBERIAN vaksin untuk remaja (PICK-Remaja) secara walk-in akan bermula Khamis ini di 156 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan memaklumkan, vaksinasi secara walk-in ini melibatkan semua remaja termasuk yang tidak bersekolah dan pemberian vaksin akan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.
“Remaja yang tidak bersekolah dibenarkan walk-in di PPV yang berdekatan dengan tempat tinggal dan jadual pemberian vaksin akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.
“Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV awam atau integrasi.
“Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama pada keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta berdekatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi remaja yang menuntut di IPTA dan IPTS yang berumur di bawah 18 tahun dibenarkan walk-in ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA atau IPTS.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) Noor Azmi berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada Isnin dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Setakat Isnin, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku dan seramai 308,186 remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.
“Dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473); Kedah (19,453); Kelantan (17,413); Johor (16,019) dan Labuan seramai 2,523 orang,” katanya. – Malaysiapost

