Najib cadangkan bank biayai rakyat beli saham

0
1

KERAJAAN dicadangkan memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai pembelian saham oleh rakyat seperti skim pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dilaksanakan sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata melalui pelaburan saham rakyat mampu membina kekayaan secara jangka masa panjang, selain terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi negara.

Menurutnya, pasaran saham Malaysia tahun ini pernah menjadi kedua paling corot dalam dunia dan selepas kerajaan bertukar, Bursa Malaysia masih keenam paling corot dalam dunia tahun ini.

“Jadi saya percaya pasaran saham Malaysia adalah di bawah nilai berbanding negara-negara lain ketika ini memandangkan ekonomi kita mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.

“Ini juga bermaksud kita ada peluang untuk membolehkan seluruh rakyat turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini harga saham berada pada paras rendah, bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank.

“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak tiga peratus.

“Pembiayaan ini ditawarkan bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang telah disyorkan penganalisis kewangan dan dibenarkan.

“Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi,” katanya.

Najib berkata, jika harga saham tidak naik, kadar dividen yang diberikan masih boleh membiayai kos faedah.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, menarik dan lebih merangsangkan.

“Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi dengan izin ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lepas.

“Kita juga perlu mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini terlalu lama dan menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan bergerak lebih laju bagi perkembangan perniagaan mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here