[PARLIMEN] KERAJAAN tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia telah dipersetujui Jemaah Menteri menerusi mesyuarat pada 10 September lalu.
Justeru, Wan Junaidi berkata, Kerajaan Persekutuan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.
“Sebenarnya tiada perbezaan pendirian antara Peguam Negara dan mahkamah, hanya yang tinggal memendekkan masa saja, sebab dalam program awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaan dijangka menjelang September 2022.
“Tetapi hakim (Mahkamah Tinggi Kuching) arahkan untuk siap pada 31 Disember 2021, justeru saya sudah bincang dengan SPR dan kita akan patuh arahan mahkamah, malah Jemaah Menteri putuskan untuk tidak buat rayuan terhadap keputusan hakim,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan menteri hari ini ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanya status pelaksanaan Undi 18.
Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Mei lalu, media melaporkan, lima anak muda Sarawak memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching dengan tujuan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang Julai tahun ini. – Malaysiapost

