[PARLIMEN] SESI pagi sidang Dewan Rakyat hari ini terganggu beberapa minit apabila seorang penyokong pembangkang meminta Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon menjelaskan kenapa Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dihalang menjadi speaker semalam.
Malah, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menuntut Mohd Rashid memberitahu Dewan Rakyat siapakah menteri kanan yang menghalang Kor Ming menjadi speaker pada sidang semalam.
“Kita mesti tahu siapa menteri kanan yang menyekat Ahli Parlimen Teluk Intan daripada menjadi speaker pada Isnin,” kata Poay Tiong.
Bagaimanapun Abdul Rashid dengan tenang memberi alasan soalan itu tidak mempunyai kaitan pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri yang sedang berlangsung.
Namun Poay Tiong tidak berpuas hati malah mendesak Abdul Rashid memberitahu berhubung pertanyaannya itu.
“Dalam dewan ini sekarang ada dua menteri kanan, Saya mahu tahu adakah menteri kanan itu ada di dewan ini sekarang? Saya mahu tahu menteri yang memalukan itu ada di sini atau tidak,” kata Poay Tiong.
Sesi Dewan Rakyat akhirnya dapat diteruskan apabila Mohd Rashid enggan melayan pertanyaan Poay Tiong dan meminta beliau bertenang.
Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, bekas Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said telah ditugaskan untuk menjadi speaker pada satu sesi sidang Parlimen dengan kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
Kor Ming sebelum ini pernah dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. – Malaysiapost

