KKM komited selesai isu pegawai perubatan lantikan kontrak – KJ

0
1

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin berjanji memberi komitmen kepada Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mendengar permasalahan yang dihadapi oleh pegawai kesihatan lantikan kontrak.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat setiap isu dibangkitkan serta akan berusaha mencari penyelesaian terbaik.

“Tengah hari ini bersama Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mendengar isu serta permasalahan yang dihadapi oleh pegawai kesihatan lantikan kontrak.

“Beberapa perkara telah dibangkitkan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan profesion mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, KKM akan berusaha mencari titik penyelesaian interim dan seterusnya ke arah penyelesaian yang lebih baik.

Pada 26 Julai lalu, sebahagian besar pegawai kesihatan lantikan kontrak di seluruh negara mengadakan hartal atau mogok bagi menuntut hak peluang kerjaya adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap.

Mogok itu tetap dijalankan, walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu sudah mengumumkan pegawai perubatan lantikan kontrak ditawarkan lanjutan kontrak untuk tempoh dua tahun lagi selepas tempoh khidmat wajib.

Lanjutan kontrak itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran dan sebagai langkah penyelesaian segera.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here