KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat, semalam.
Anwar berkata, ini kerana kawasan Gunung Jerai tidak berada di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda, tidak seperti disebut Takiyuddin semalam.
“Saya meneliti jawapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli tatkala menjawab soalan saya mengenai aktiviti pembalakan di Dewan Rakyat semalam.
“Setelah mendengar hujahan beliau, perlu dijelaskan bahawa kawasan Gunung Jerai tidak berada di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda. Justeru, segala kenyataan dibuatnya tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat bencana kepala air di Gunung Jerai, Kedah bulan lalu berpunca kerana takdir Allah.
Malah, Ahli Parlimen Kota Baharu itu menolak dakwaan Anwar yang mengaitkan bencana itu akibat aktiviti pembalakan kerana Gunung Jerai diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan pada 23 November 2018.
Anwar berkata merujuk kepada insiden kepala air di kawasan berkenaan sebelum ini, pihak kementerian harus melaksanakan siasatan menyeluruh apakah berlaku sebarang aktiviti pencerobohan hutan di kawasan tersebut.
“Saya mendesak menteri bertanggungjawab agar lebih serius melakukan pemantauan dan hentikan salahguna konsep takdir kerana faktor-faktor utama adalah berpunca dari kerakusan dan ketamakan manusia,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan itu menjelaskan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sebelum ini mengenalpasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini telah diteroka secara haram sejak 2011.
“Menurut pakar hidrologi Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia, perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada musibah tersebut.
“Faktor-faktor utama adalah pembalakan, aktiviti pembinaan dan penanaman (agro) serta penukaran status hutan dara ke kawasan penempatan.
“NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga menyebut air yang berselut adalah bukti nyata bahawa aktiviti pembalakan terus berlaku dengan kadar yang melampau. Kerajaan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan serta kementerian harus memantau dan bertindak,” katanya. – Malaysiapost

