
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil berat isu dibangkitkan berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan ‘nano mist spray’ sebagai alat disinfeksi.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata nano mist spray adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano.
Menurutnya, alat berkenaan dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair digunakan.
“Alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti bersaiz kecil sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.
“Mutakhir ini, nano mist spray digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19 dan ramai beranggapan ia berupaya menghapuskan virus di udara dan permukaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keberkesanan penggunaan alat berkenaan untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaannya menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan; jenis dan kepekatan larutan disinfeksi digunakan; serta tempoh masa pendedahan.
“Secara umumnya pada masa ini, beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan mengandungi alkohol 70 hingga 90 peratus, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia, dan larutan berasaskan klorin berkesan membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.
“Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection yang menjadi rujukan seluruh dunia,” katanya.
Dr Noor Hisham, bagaimanapun menjelaskan larutan disinfeksi yang dinyatakan itu bertujuan untuk nyah kuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.
“Ini kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan sistem pencernaan.
“KKM ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran desinfektan permukaan yang turut menerangkan keperluan pelabelan disinfektan. – Malaysiapost
