Sejak peluk Islam, ibu semakin sembuh

0
1

KISAH seorang pesakit Covid-19 wanita yang memeluk Islam sebelum ‘ditidurkan’ di sebuah hospital, sebenarnya kini disahkan semakin sembuh.

Anak kedua wanita itu, Fringco John Wayne @ Firdaus Abdullah, 45, berkata, ibunya semakin sihat sejak memeluk Islam pada 9 September lalu.

Semalam, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan ibunya, Laimi Tinggi @ Nur Laila Abdullah, 65, mengucap kalimah syahadah dengan bantuan jururawat sebelum ditidurkan untuk menjalani rawatan alat bantuan pernafasan.

Jelas Firdaus, ibunya dimasukkan ke wad Covid-19 di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, pada 4 September lalu selepas cedera akibat terjatuh.

“Selepas ke hospital, ibu turut disahkan dijangkiti Covid-19. Sejak itu, kesihatan ibu semakin merosot. Pada pagi 9 September doktor kemudian menghubugi saya dan memaklumkan ibu berada di tahap lima Covid-19.

“Saya kemudian meminta petugas wad membantu agar saya dapat membuat panggilan video bersama adik-beradik yang lain,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Firdaus berkata, video itu telah dirakam pada 9 September lalu ketika ibunya sempat meluahkan hasrat untuk memeluk Islam jika keluar wad kelak.

“Melihat keadaan ibu yang merisaukan ditambah lagi dengan sakit buah pinggang tahap empat, saya meminta pertolongan petugas hospital membantu ibu melafazkan khalimah syahadah pada hari berkenaan.

“Alhamdulillah dengan bantuan tiga jururawat, ibu akhirnya memeluk Islam dan kami adik-beradik sangat gembira sehingga menitiskan air mata. Kami juga meminta suasana itu dirakamkan,” katanya.

Foto ihsan keluarga Firdaus

Firdaus menambah, empat daripada lima adik beradiknya sudah lama memeluk Islam.

“Selepas itu, hari demi hari kesihatan ibu semakin baik. Dia kembali ada tenaga dan beberapa hari lalu bekalan oksigen pun sudah dibuka,” katanya yang turut menafikan ibunya dipaksa memeluk Islam di wad berkenaan.

Firdaus berharap dengan penjelasan itu, beliau sekeluarga berharap tohmahan bahawa ibunya telah dipaksa memeluk Islam dapat dihentikan segera.

“Kami yang meminta jururawat melakukan perkara berkenaan. Jadi saya harap tiada pihak melemparkan tohmahan kepada jururawat dan pihak hospital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here