POLIS mengesan penunggang basikal yang mengikuti rapat di belakang sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, aksi berkenaan membahayakan nyawa dan orang ramai diminta bekerjasama untuk menyalurkan maklumat mengenainya kepada polis.
Menurutnya, keselamatan diri ketika menunggang basikal perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan dan kejadian tidak diingini berlaku.
“Bagaimanapun, masih ada individu didapati melakukan kesalahan itu seperti video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
“Penunggang basikal dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan aksi berbahaya bagi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Berdasarkan video terbabit, penunggang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya pada sidang media dipetik Harian Metro, hari ini.
Muhammed Rizal berkata, ketika ini aktiviti berbasikal dibenarkan pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun tindakan segelintir penunggang basikal melakukan kesalahan jalan raya tidak sepatutnya berlaku.
Pada 17 September lalu, satu video berdurasi dua minit 34 saat tular di media sosial memaparkan aksi berbahaya seorang penunggang basikal yang mengikuti rapat di belakang sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan. – Malaysiapost

