[PARLIMEN] SEPANJANG tempoh Mac 2020 sehingga Ogos lalu, sebanyak 411 kes bunuh diri direkodkan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengendalikan sejumlah 1,578 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara sejak Mac tahun lalu hingga kini.
Beliau berkata kes-kes berkenaan adalah membabitkan 1,432 wanita dan 146 lelaki.
“Kementerian memandang serius terhadap krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa sama, kajian tinjauan oleh kementerian mendapati sokongan sosial adalah antara mekanisme untuk mengurangkan tekanan dihadapi oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan bertulis bagi menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, dalam menangani krisis jiwa dan mental kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan wabak Covid-19, kementerian mengambil beberapa tindakan bagi mendepani situasi ini.
Katanya, ia termasuk menyediakan Khidmat Aduan Atas Talian melalui Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-2615999 serta sokongan kelangsungan hidup dalam bentuk pemberian bakul makanan dan bakul prihatin negara.
Beliau berkata, selain itu bayaran Bantuan Kewangan Bulanan Persekutuan oleh JKM berjumlah RM1.5 bilion untuk menampung keperluan seramai 498,935 penerima bantuan dipercepatkan.
Dalam jawapan bertulisnya bagi soalam Ahmad Hasan (Warisan-Papar) pula, beliau memaklumkan, setakat 9 September lalu, 503,562 orang kurang upaya (OKU) sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Seramai 375,482 orang menerima dua dos vaksin lengkap, manakala 21,832 orang bagi Sabah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 15,099 orang menerima dua dos vaksin lengkap,” katanya menjawab soalan Ahmad mengenai jumlah penerima vaksin OKU di Sabah.
Menjawab soalan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkenaan sistem bantuan psikologi, beliau berkata, perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial sudah dilaksanakan berterusan sejak bermulanya pandemik melalui pelbagai cara dan medium.
“Antaranya seperti khidmat sokongan psikologi dalam talian dan program sokongan psiko-sosial melalui media elektronik dan media cetak serta media sosial.
“Petugas barisan hadapan juga sentiasa menyantuni mangsa-mangsa yang terjejas di lapangan akibat Covid-19 bagi memberikan bantuan sokongan emosi dan psikologi,” katanya. – Malaysiapost

