[PARLIMEN] SEORANG penyokong kerajaan hari ini tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak dilahir oleh warganegara Malaysia di luar negara untuk diberi kewarganegaraan secara automatik.
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata tindakan itu bukan sahaja satu diskriminasi terhadap wanita, malah menafikan hak bayi yang tidak berdosa.
“Saya minta kerajaan supaya ada ihsan kepada wanita (warga Malaysia) dan kepada anak yang tidak berdosa, anak ini bukan dia boleh minta dalam perut mak dia mohon lahir di Malaysia, dia tiada keupayaan.
“Bukan saja kita diskriminasi terhadap wanita, tapi melakukan kesalahan kepada bayi baru dilahirkan yang tak berdosa, dan tak tahu langsung bahawa dia lahir di luar negara dan tak boleh jadi warga Malaysia.
“Saya terbaca jawapan diberi kerajaan, tak boleh dwi warganegara, setahu kita apabila bayi itu berumur 18 tahun, dia boleh buat keputusan, sama ada mahu jadi rakyat di negara dia lahir atau jadi warganegara mengikut ibu bapa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Dilaporkan, Kerajaan Persekutuan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.
Baru-baru ini, Sultan Johor menggesa kerajaan menggugurkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahir oleh warganegara Malaysia di luar negara untuk diberi kewarganegaraan secara automatik, tanpa mengira ia ibu atau bapa kepada anak itu.
Titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.
Sultan Ibrahim juga bertitah, kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.-Malaysiapost

