MESKIPUN Malaysia merekodkan 14,345 kes baharu Covid-19 hari ini, namun hanya 1.5 peratus atau 212 kes daripadanya disahkan melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya iaitu 14,133 kes atau 98.5 peratus adalah daripada kategori satu dan dua yang tidak bergejala dan bergejala ringan.
Katanya, sebanyak 14,302 kes adalah penularan tempatan membabitkan 13,072 warganegara dan 1,230 bukan warganegara, manakala 43 kes import membabitkan 27 warganegara selebihnya bukan warganegara.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 1,167 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 906 kes disahkan positif Covid-19 dan 216 kes lagi adalah suspek, kemungkinan serta dalam siasatan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 636 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 407 kes disahkan Covid-19 sementara 229 kes suspek, kemungkinan serta dalam siasatan.
Menurutnya, sebanyak 16,814 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah kes pulih dalam negara kini 1,880,736.
Katanya, sebanyak 23 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhan 5,305 kluster dengan 1,335 kluster masih aktif. – Malaysiapost

