
AHLI Parlimen Puchong, Gobind Singh mempertikaikan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sendiri, selepas tiga pegawainya ditahan dalam siasatan melibatkan seorang bekas ketua jabatan.
Ahli Parlimen daripada DAP itu mempertikaikan kenapa polis tidak menyiasat tiga pegawai SPRM berkenaan.
“Pertama, kes ini melibatkan kecurian barang kes. Kes kecurian di bawah bidang kuasa polis. Jadi, kenapa SPRM yang membuat penangkapan? Isu ini melibatkan pegawai SPRM, kita tidak boleh meminta SPRM membuat siasatan sendiri.
“Persoalannya, apa yang berlaku kepada wang itu? Wang ini berkaitan kes mahkamah. Sebahagian daripada USD6 juta dikatakan hilang.
“Saya menggesa kes ini disiasat badan bebas yang dapat menunjukkan ketelusan dalam siasatannya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan penangkapan tiga pegawai SPRM itu dilakukan sehari selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menafikan ia “takut” menyiasat laporan terhadap tiga pegawai SPRM atas dakwaan mencuri barang kes.
Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang mencelah dan bertanya, sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki wajar bercuti sehingga kes itu selesai, Gobind meminta soalan rakan PH itu turut dimasukkan dalam ucapannya.
Dalam pada itu, Gobind juga mempertikaikan kenapa tiada maklumat lanjut mengenai siasatan dalaman polis terhadap dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kewujudan kartel dalam pasukan polis.
Katanya, kes itu tidak patut disiasat secara dalaman.
“Bolehkah kesalahan rasuah dan lain-lain yang didedahkan bekas KPN diselesaikan secara dalaman? Apa yang membezakan pegawai polis apabila kesalahan dilakukan? Kenapa tindakan dalaman?
“Sehingga kini, tiada kenyataan berkenaan isu itu. Apa yang berlaku kepada siasatan dalaman itu?” kata Gobind.
Abdul Hamid sebelum ini mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pegawai polis yang dikatakan mahu menjatuhkannya.
Katanya, kumpulan itu mahu mendominasi pasukan polis untuk kepentingan sendiri. – Malaysiapost
