TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyumbangkan van jenazah kepada Persatuan Veteran Komando Markas 6 Briged, Kem Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah hari ini.
Sumbangan disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Khairul Anuar Abdul Aziz.
Van jenazah itu disumbangkan menerusi program khas baik pulih van TNB yang hendak dilupuskan dengan kos pembaikan RM35,000.
Khairul Anuar berkata pihaknya berterima kasih kepada TNB yang menyumbang van jenazah untuk kegunaan Persatuan Veteran Komando Markas 6 Briged ini.
Syarikat utiliti nasional itu turut menyumbangkan van jenazah kepada Masjid Sultan Abdul Halim, Sungai Petani yang disampaikan kepada Ketua Imam, Che Sa Ahmad.
TNB telah menyumbang sejumlah 60 buah van jenazah sejak 2016 dengan nilai lebih RM2.7 juta.
Setiap tahun TNB menerima purata 80 permohonan daripada pelbagai pihak untuk mendapatkan sumbangan itu.-Malaysiapost

