JALAN menghubungkan antara Simpang Pulai ke Cameron Highlands ditutup bermula semalam atas faktor keselamatan susulan kejadian tanah runtuh.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands, Noor Irwan Othman, berkata laluan yang ditutup adalah di Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 43.00 Jalan Pos Slim – Lojing.
Menurutnya, kawasan yang terjejas adalah berdekatan Kafe Banjaran Titiwangsa.
“Adalah dimaklumkan bahawa laluan FT185 Seksyen 43.00 Jalan Pos Slim – Lojing yang menghubungkan Simpang Pulai ke Cameron Highlands ditutup buat sementara waktu atas faktor keselamatan.
“Penutupan Jalan ini berkuat kuasa 18 September 2021 sehingga notis baru dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan Jalan Persekutuan FT59 Jalan Tapah – Cameron Highlands sebagai jalan Utama untuk ke Cameron Highlands.
“Segala kesulitan amat dikesali,” katanya. – Malaysiapost

