SERAMAI sembilan lelaki ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kesemua lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Operasi Pelbagai dijalankan semalam di sekitar ibu negara.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar untuk tindakan lanjut.
“Mereka juga akan dituduh di mahkamah di bawah seksyen yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) dan menahan dua lelaki yang menunggang dengan berbahaya, melakukan aksi ‘zig zag’, ‘roket’ dan ‘superman’ serta bersaing.
“Kedua-dua tangkapan berusia 19 dan 20 tahun dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar dan akan dituduh mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menganggu pengguna jalan raya lain,” katanya.
Sarifudin berkata, pihaknya menjalankan Op Samseng Jalanan, Op Motosikal dan Op Pelbagai pada hujung minggu di kawasan-kawasan yang mempunyai aduan di sekitar pusat bandar.
“Operasi dijalankan pada 17 September hingga awal pagi tadi oleh Unit Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur melibatkan empat pegawai dan 22 anggota di sekitar Jalan TAR, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Jalan Loke Yew dan Lebuhraya DUKE.
“Secara keseluruhan 551 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 12 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos),” katanya. – Malaysiapost

