Shuib mahu ‘bersara’ sementara dari dunia hiburan

0
1
shuib sepahtu

PELAWAK Shuib Sepahtu mengambil keputusan untuk berehat daripada sebarang program hiburan buat sementara waktu. 

Pemilik nama penuh Shahmira Muhamad itu berkata, keputusan mengundur diri seketika ini diambil susulan jadual hariannya yang kini sudah berubah 100 peratus selepas isterinya, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos lalu. 

“Sekarang, semuanya berubah termasuklah jadual harian saya selepas Ayash Affan pulang ke rumah dan dia memerlukan penjagaan rapi memandangkan masih dalam tempoh pramatang. 

“Berehat yang saya maksudnya bukannya berhenti tetapi tidak terlibat dengan sebarang program buat sementara waktu,” katanya selepas majlis bacaan Yasin secara maya sempena 40 hari pemergian Allahyarham Siti Sarah malam tadi. 

Bekas penyampai radio Hot FM itu menambah, dalam tempoh ‘berehat’ tersebut, dia juga masih dalam fasa untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat orang anaknya. 

Malah, Shuib, 37, dalam nada berseloroh menyifatkan dirinya agak pelik kerana tidak percaya dia kini memegang gelaran bapa tunggal. 

“Pelik pula dengan gelaran tersebut tetapi inilah yang saya jalani. Penggantungan anak-anak sekarang sudah beralih 100 peratus kepada saya sejak ibu mereka meninggal dunia. 

“Jadi, untuk laksanakan semua ini, ada baiknya saya fokus dulu dengan keadaan di rumah bagi memastikan kehidupan dan pelajaran anak-anak terjaga,” katanya lagi. 

Mengulas mengenai perniagaannya, Shuib bersyukur kerana pihak pengurusan syarikatnya sangat memahami situasi dan dia hanya memantau perniagaannya dari rumah sahaja. 

“Alhamdulillah mereka sangat faham dengan situasi saya sekarang. Syukur rezeki yang Allah beri melimpah-limpah,” katanya.  

Kini, Shuib sedang membiasakan diri bersama empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6, dan Ayash selepas pemergian Siti Sarah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here