Mahdzir seru semua parti pembangkang tandatangani MoU

0
1

SEMUA parti pembangkang yang belum menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik diseru untuk menandatanganinya demi memastikan mereka dapat bersama kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, MoU itu tidak bermakna pembangkang tidak lagi menjalankan tugas-tugas membangkang serta memainkan peranan semak dan imbang.

“MoU ini persefahaman antara kerajaan dan pembangkang tetapi dia tetap membangkang. Dalam Parlimen pun mereka tetap ‘tibai’ kerajaan dan peranan semak serta imbang tetap dimainkan.

“Cumanya ada persefahaman atau limitasi mengenai hal dinyatakan dalam MoU itu yang akan melibatkan kerjasama dari kerajaan dan pembangkang.

“Oleh itu, kita berharap parti lain juga yang belum menandatangani MoU, dapat mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan, untuk bersama dalam urusan berkaitan Covid-19 dan pembangunan semula ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, parti pembangkang tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana apa yang dibentuk bukanlah kerajaan perpaduan (unity government).

Setakat ini, tiga parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) masih enggan menandatangani memorandum tersebut dengan memberi beberapa alasan.

Perkembangan itu mendorong pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bersuara menerusi satu kenyataan semalam untuk mengajak ketiga-tiga parti tersebut agar bersama menandatanganinya demi kebaikan masa depan rakyat dan negara.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menambah, dalam keadaan sekarang, semua ahli politik tidak seharusya sibuk bermain politik, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Elok kita tumpukan kepada kesusahan rakyat dalam ekonomi dan bagaimana hendak berdepan dengan pandemik ini. Di pihak kerajaan, Insya-Allah tanggungjawab ini akan diambil secara serius dengan program ekonomi rakyat juga akan dibuat secara menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here