
PELAKON Fizo Omar mengejutkan peminatnya apabila berhasrat untuk membina sebuah masjid.
Hasrat murninya itu mendapat sokongan dan galakkan peminatnya yang mendoakan niat pelakon itu dapat direalisasikan tidak lama lagi.
“Untuk mendirikan ‘masjid’ (berkahwin) belum lagi. Tapi cita-cita untuk membina masjid, insha-Allah memang ada,” itulah pencerahan yang diberikan oleh Fizo Omar dipetik Kosmo, hari ini.
Terdahulu, menerusi Instagram miliknya, Fizo, 36, memuat naik sekeping gambar sebuah masjid dengan kapsyen ‘membina masjid’.
Gambar tersebut menimbulkan salah faham segelintir netizen, kononnya Fizo mahu bernikah lagi.
Malah Fizo menafikan bahawa dia akan menamatkan zaman dudanya dalam masa terdekat ini kerana masih lagi solo dan tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan wanita.
Pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu berkata, sebenarnya dia terpegun dan terpesona dengan keindahan seni bina masjid Ar-Rahman yang terletak di Pulau Gajah, Sering, Kota Bahru ketika mengunjungi masjid tersebut baru-baru ini
“Jangan salah faham. Saya cuma terpegun dengan keindahan seni bina masjid tersebut dan ingin menggalakkan orang kita (Islam) dalam kalangan usahawan untuk mengikut jejak langkah pemilik masjid ini yang juga merupakan seorang usahawan berjaya.
“Masjid ini dibina dengan kos RM6 juta. Itu mesej yang hendak saya sampaikan,” ujar Fizo.
Pelakon yang terkenal dengan telefilem Talak itu tidak menafikan bercita-cita untuk membina sebuah masjid jika dilimpahi rezeki suatu hari nanti.
“Insyallah saya juga berhajat untuk membina sebuah masjid atas nama kedua-dua ibu bapa saya satu hari nanti.
“Saya sebenarnya lebih terinspirasi kejayaan usahawan apabila dapat membina sebuah masjid. Sebenarnya tidak perlu pun hendak membina masjid yang mewah. Tapi kalau mampu, tidak salah buat sebuah masjid yang gah,” katanya. – Malaysiapost
