KAWASAN tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya dan sekitarnya diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan tidak selamat untuk dihuni.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia termasuk tiga buah banglo iaitu di Lot 6, Lot 8 dan Lot 10 kerana dikhuatiri berlaku lagi pergerakan tanah.
“Insiden ini membabitkan runtuhan berlaku di tiga buah banglo berkenaan malah runtuhan itu telah turun ke sungai yang sebahagiannya menghimpit kawasan perumahan bandar di bawahnya,” katanya kepada media yang dipetik FMT, hari ini.
Amirudin berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan meletakkan kain kanvas di kawasan runtuhan untuk mengelakkan terdedah kepada air lalu menyebabkan runtuhan baharu boleh berlaku berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan khas RM500 kepada setiap keluarga mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.
Katanya, bantuan terbabit diberikan segera bagi meringankan beban kesemua 27 keluarga terlibat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan telah meminta peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM1 juta untuk tujuan pembinaan cerucuk besi bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan di Jalan Kemensah Height.
Dilaporkan sebanyak tiga buah rumah banglo dan 12 rumah teres membabitkan 27 keluarga terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dalam kejadian semalam. – Malaysiapost

