Akta Anti Lompat Parti wajar disegerakan

0
1

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyambut baik sebarang usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ketuanya, Shahir Adnan, berkata Kerajaan Persekutuan diharap dapat menggubal RUU itu secepat mungkin, namun perlu memastikan ia selaras dengan Perlembagaan agar tidak timbul soal bercanggah dengan kebebasan berpersatuan dan hak individu kemudian hari.

“Harus diingat, RUU ini juga memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

“Akta Anti Lompat Parti boleh diperkenalkan dengan syarat Akta Pilihan Raya juga dipinda sekali bagi memberi kelonggaran kepada wakil rakyat sekiranya dia tidak lagi bersetuju dengan parti dianggotainya dan boleh meletak jawatan serta bertanding sebagai calon Bebas.

“Keadaan seperti ini memberikan keadilan kepada semua pihak, iaitu kepada jentera parti yang bertungkus-lumus bekerja demi parti, kepada wakil rakyat agar tidak terikat dengan persengketaan dalaman parti, dan terutamanya kepada rakyat agar mandat dikembalikan tanpa rasa dikhianati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahir menjelaskan, walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang pada waktu sekarang, namun tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan mengkhianati amanah rakyat, perjanjian parti dan pengundi di kawasan mereka.

“Pemimpin seharusnya sedar bahawa kemenangan mereka semasa pilihan raya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendokong calon-calon parti di setiap Parlimen atau DUN,” katanya.

Shahir juga menegaskan, rakyat sedang memerhati dan melihat Ahli Parlimen yang berintegriti serta menjalankan amanah rakyat dan parti dengan sebulat hati.

“Di sebalik kecelaruan politik tanah air, DPIM mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Parlimen dan Adun PAS yang tidak langsung terpalit dengan isu sebegini.

“Rakyat telah memilih pada PRU-14. Seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU-15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here