
BEBAN kewangan dialami sektor perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro akan dapat dikurangkan dengan adanya bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 1 bermula 21 September ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata peruntukan kerajaan itu akan memanfaatkan lebih sejuta pengusaha PKS sekali gus membantu meringankan beban rakyat yang berdepan pandemik Covid-19.
“Peruntukan bernilai RM500 juta ini akan memanfaatkan lebih sejuta PKS yang akan menerima RM500. Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.
“Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.
“Saya berharap agar bantuan langsung berterusan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya yang masih terjejas ketika ini,” katanya.
Terdahulu beliau berkongsi mengenai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi yang sudah membuat rayuan untuk mendapatkan bantuan berkenaan.
“Berita baik untuk bakal penerima yang mengemukakan rayuan BPR tempoh hari kerana status semakan kelulusan kini boleh dibuat mulai 18 September 2021 di https://bpr.hasil.gov.my.
“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September 2021 bersekali dengan penerima BPR Fasa 3.
“Pembayaran rayuan BPR ini akan melibatkan 200,000 penerima BPR dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, mereka yang lulus rayuan BPR juga layak untuk menyertai Program Jaringan Prihatin yang permohonannya masih dibuka sehingga 30 September 2021.
“Jadi masih sempat untuk mendaftar dan menebus telefon bimbit di kedai secara fizikal.
“Saya harap bantuan BPR dan program Jaringan Prihatin ini akan membantu kelangsungan kehidupan serta memudahkan pembelajaran anak-anak agar lebih lancar dan kondusif. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost
