KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan kesahihan gambar yang menggambarkan orang ramai bersesak di jeti Kuala Perlis dan Langkawi seperti tular di media sosial.
MOTAC dalam satu hantaran di laman Facebook, menjelaskan gambar yang ditularkan sebaliknya adalah gambar lama iaitu daripada berita yang disiarkan pada 20 Ogos 2020 lalu.
“Gambar yang ditularkan di media sosial yang menggambarkan orang ramai bersesak di jeti Kuala Perlis dan Langkawi adalah palsu dan tidak benar.
“Gambar terbabit adalah daripada berita yang disiarkan pada 20 Ogos 2020 dan MOTAC sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berkenaan penyebaran berita palsu ini,” katanya.
Menurut MOTAC, penyebaran berita palsu berkenaan memberi tanggapan negatif berhubung projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai khususnya penduduk Langkawi.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu seperti ini. Pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Dapatkan maklumat sahih dan terkini dengan merujuk laman sesawang dan media sosial rasmi MOTAC,” katanya. – Malaysiapost

