Kepingan besi akan dibina, elak pergerakan tanah – Azmin

0
1

PIHAK berkuasa akan membina kepingan besi (sheet pile) sebagai penghadang pergerakan tanah bagi mengelak insiden tanah runtuh di Kemensah Heights di Ampang terus berlaku.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia bagi menstabilkan struktur tanah berhampiran lokasi tanah runtuh yang menjejaskan 32 keluarga di kawasan terbabit, seterusnya tidak menjadi semakin buruk.

Mohamed Azmin berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan kos bagi pembinaan kepingan besi itu dianggarkan sekitar RM1 juta dan beliau telah berhubung dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Ia perlu dilaksanakan segera kerana pergerakan tanah itu tidak akan membantu kestabilan cerun di kawasan tersebut.

“Sebelum ini dari semasa ke semasa kerajaan telah melaksanakan usaha untuk mengukuhkan cerun (di kawasan Ampang), tapi apa yang berlaku hari ini adalah tanah milik persendirian.

“Oleh kerana tanah ini hak milik persendirian, tetapi dalam tragedi seperti ini, kerajaan Persekutuan akan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bantu penduduk, supaya kita dapat melindungi nyawa mereka,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau serta mendengar taklimat berhubung kejadian tanah runtuh itu hari ini.

Mohamed Azmin memaklumkan insiden itu melibatkan tiga lot banglo yang berlaku tanah runtuh serius di belakang kediaman, manakala 16 unit townhouse turut terjejas akibat limpahan air daripada sungai berhampiran yang tertimbus.

Katanya, pihak polis, bomba serta Jabatan Mineral dan Geosains telah menasihatkan penduduk mengosongkan premis dan kini ditempatkan di beberapa dewan orang ramai untuk sementara waktu.

“Penduduk yang penduduk tinggal di townhosue, saya dimaklumkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, mereka memerlukan tiga hari untuk menyediakan laporan teknikal sama ada kediaman itu selamat didiami atau sebaliknya.

“Ketika ini laporan menunjukkan strukrur bangunan masih kukuh dan tiada pergerakan (tanah), hanya berlaku limpahan sungai.

“Tertakluk laporan yang akan dikemukakan, sekiranya ia selamat didiami, penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing. Sementara itu, kami berharap penduduk dapat bersabar,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan tragedi tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here