TUN Dr Mahathir Mohamad menyarankan pihak berkuasa mengurangkan kapasiti penumpang bagi penerbangan dan feri ke Langkawi yang kini memasuki hari ketiga program perintis gelembung pelancongan.
Ahli Parlimen Langkawi itu bimbang penumpang yang duduk rapat antara satu lain sama ada dalam penerbangan mahupun feri ke pulau peranginan itu, akan menyebabkan berlaku penularan wabak Covid-19.
“Boleh kurangkan jumlah (penumpang) supaya tak duduk rapat-rapat, sama juga feri sekarang ini bawa penumpang penuh, sepatutnya kurang daripada kapasiti.
“Feri misalnya, kita boleh adakan lebih banyak trip, tetapi penumpang dikurangkan,” katanya dalam sidang media di Langkawi hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau berharap agar penerbangan dari luar negara dibenarkan terbang terus ke Langkawi dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau itu.
Namun, mestilah ditetapkan dengan syarat-syarat tertentu agar tidak berlaku penularan wabak Covid-19.
Pada masa sama, tinjauan beliau mendapati ramai pelancong mengabaikan penjarakan fizikal satu meter seperti ditetapkan pihak berwajib.
“Kita dapati mereka (pelancong) kerap kali berdekat-dekatan, tak ikut syarat jarak satu meter antara individu. Ini kerana varian Delta satu meter tak cukup (untuk menular), jadi ini mungkin akan membawa kesan,” katanya.
Secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan gelembung pelancongan dilaksanakan di Langkawi ketika ini, namun perlu beberapa penambahbaikan dan perkara itu akan disampaikannya kepada pihak yang berkenaan.
“Sejak dua hari kita buka Langkawi, kita dapati ada peningkatan, satu hari lebih kurang 3,000 pelancong, tak begitu banyak tapi ini memberi nafas kepada peniaga di Langkawi terutama pengusaha restoran.
“Ini adalah permulaan, kita percaya ia akan bertambah tak lama lagi,” katanya. – Malaysiapost

