Pekerja kontrak pembersihan hospital juga ‘frontliners’ – Zahid

0
1
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

PEKERJA kontrak pembersihan hospital kerajaan mahupun swasta terutama membabitkan rawatan pesakit Covid-19 juga adalah petugas barisan hadapan negara yang perlu diberi perhatian dari segi kebajikan.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berpendapat kerajaan tidak boleh mengabaikan kebajikan mereka termasuk permintaan kenaikan gaji secara saksama.

Beliau merujuk isu sekumpulan pekerja kontrak pembersihan hospital di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak yang dilaporkan mengadakan piket, semalam.

“Simpati apabila membaca laporan media antara tuntutan mereka adalah kenaikan gaji secara saksama sebanyak RM30.

“Majoriti anggota masyarakat berpandangan kenaikan RM30 tidak sepatutnya menjadi bebanan keterlaluan untuk pihak konsesi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, isu kebajikan pekerja kontrak pembersihan hospital kerajaan sebenarnya pernah dibangkitkan pada Ogos 2018, namun kerajaan ketika itu menegaskan pekerja berkenaan bukan kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan ketika itu memutuskan pekerja terbabit bukan di bawah kerajaan, sebaliknya di bawah tanggungjawab pihak pemegang konsesi kontrak perkhidmatan pembersihan.

“Bagaimanapun situasi yang berlaku di Hospital Bahagia Ulu Kinta sudah berbeza.

“Berdasarkan laporan media kontrak pembersihan hospital kerajaan di negeri itu diambil alih oleh sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 Januari tahun lalu.

“Maka sebarang alasan pekerja kontrak pembersihan hospital bukan urusan kerajaan mungkin tidak lagi sesuai,” katanya.

Beliau berpendapat, walaupun bukan kakitangan kerajaan, adalah tetap menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat.

“Saya percaya kerajaan baharu ‘Keluarga Malaysia’ tidak akan mengabaikan nasib mereka dan membantu untuk mendapatkan situasi menang-menang.

“Jangan sesekali terlupa para pekerja kontrak pembersihan hospital kerajaan mahupun swasta juga ‘frontliners’ negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan menganjurkan piket di luar hospital psikiatri itu yang berlangsung kira-kira 20 minit.

Mereka menuntut agar semua pekerja diberi kenaikan gaji sebanyak RM30 sejak Julai lalu, dan bukan hanya beberapa pekerja terpilih yang lulus penilaian syarikat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here