SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Perak menjalankan fungsi-fungsi demikian sepanjang tempoh keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke United Kingdom bersama Raja Permaisuri Agong mulai hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Istana Negara menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Dalam Lawatan Khas kali ini, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford.
Atur cara Lawatan Khas turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.
Yang di-Pertuan Agong turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst. Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
Seri Paduka Baginda turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.
Usai Lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober 2021. – Malaysiapost

