Pemandu lawan arus berdepan hukuman mati

0
1

NAHAS membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Trition melawan arus hingga mengakibatkan dua remaja maut di Lebuhraya Persekutuan awal pagi Ahad lalu, kini disiasat sebagai kes bunuh.

Kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata suspek telah direman tujuh hari selepas kejadian itu untuk membantu siasatan, namun pagi ini dihadapkan semula ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan perintah sambung reman.

Katanya, Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Norliza Hussin membenarkan suspek disambung reman tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dalam kes diklasifikasi semula kepada Seksyen 302.

“Polis akan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwaraya bagi arahan lanjut (pendakwaan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 September lalu, Baharudin berkata siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki tempatan dari arah Kuala Lumpur ke arah Klang di Lebuhraya Persekutuan secara melawan arus dan merbahaya.

Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Proton Wira yang dipandu dari Klang menuju ke Kuala Lumpur sebelum polis menahan pemandu Mitsubishi Triton yang didapati positif dadah jenis ganja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here