KAPAL Misi Pesisir (LMS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinamakan sebagai BADIK bersempena nama sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.
TLDM menerusi kenyataan memaklumkan penggunaan nama BADIK yang merupakan senjata tradisional Melayu, turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.
“BADIK merupakan kapal LMS ketiga TLDM dan akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
“Skuadron tersebut kini mempunyai dua kapal LMS iaitu KD KERIS dan KD SUNDANG yang telah beroperasi,” katanya hari ini.
Upacara penamaan LMS ketiga TLDM itu dilaksanakan pagi tadi di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China.
Ia disempurnakan isteri Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China, Rohana Osman, mengikut tradisi Tentera Laut di mana kapal-kapal perang yang baharu akan diberi nama oleh isteri orang kenamaan.
Menurut TLDM, BADIK mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober 2020 oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.
“Setelah menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal ini diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada 14 September 2021 di Qidong, China.
“Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai kru pertama telah menjalani latihan intensif selama lima bulan di China dan BADIK dirancang tiba di Malaysia pada penghujung September,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

