Mou: Ahli Parlimen PH tak terikat

0
1

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjuangan PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak terikat dengan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara blok pembangkang PH dengan kerajaan baru-baru ini.

Presiden PKR merangkap Pengerusi PH itu berkata ini dapat dilihat apabila Ahli-Ahli Parlimen PH tidak terikat dengan MOU yang ditandatangani itu ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada persidangan Parlimen.

“Perjuangan ini bukan terikat dalam MOU, ucapan saya dan rakan-rakan dalam Parlimen jelas, tak terikat, kita bangkitkan pelbagai isu termasuk isu-isu rasuah,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Mengulas kenyataan NGO antirasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) yang menyatakan kebimbangan bahawa MoU itu tidak cukup tegas membanteras rasuah, Anwar menjelaskan ia menekankan tatakelola yang baik dalam pentadbiran kerajaan.

“Kalau diteliti MoU itu, yang ditekankan adalah tatakelola yang baik, good governance tidak akan berlaku kalau rasuah menular.

“Kedua disebut juga kebebasan badan kehakiman yang ditekankan dalam salah satu peruntukan MOU, bagi saya sebenarnya membentaeras rasuah salah satu tonggak kami dalam PKR dan PH, ini asas yang tak boleh kompromi,” katanya.

Semalam TI-M menyatakan kebimbangan MoU itu tidak menyertakan janji-janji reformasi mengenai Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya serta penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebagai suruhanjaya oleh Perlembagaan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata PKR dan PH masih berunding berhubung penggunaan logo parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya hormat pandangan akar umbi untuk menggesa pimpinan guna logo PKR, saya juga faham dalam konsep PH ada gesaan untuk menggunakan logo PH.

“Jadi biar kita runding secara baik kerana ada hujah kuat dikemukakan kedua-dua pihak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here