Budak 11 tahun penerima termuda vaksin Covid-19

0
1

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menjadi antara penerima suntikan vaksin Covid-19 termuda di Negeri Sembilan.

Sharifah Nur Syasya Syed Saiful dari Taman Sri Bayu, Seremban menerima suntikan dos pertama vaksin Comirnarty keluaran Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

Ibunya, Nur Hamizah Md Zin, 34, berkata dia bersyukur apabila anak sulungnya itu menerima vaksin lebih awal berbanding kanak-kanak lain seusianya.

Kredit foto: Berita Harian

“Memandangkan anak saya dikategori sebagai golongan berisiko dan ada penyakit diabetes tahap satu sejak enam tahun lalu, maka dia dibenarkan menerima suntikan vaksin.

“Semalam pihak Hospital Tuanku Jaafar di Seremban memberitahu nama anak saya disenaraikan sebagai penerima vaksin dan ia buat saya rasa sangat lega,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurutnya, anaknya itu bukan saja tidak takut untuk menerima suntikan vaksin, tetapi juga sangat bersemangat untuk ke PPV.

Ujarnya, selepas sehari anaknya itu dicucuk vaksin, dia tidak alami sebarang kesan sampingan melainkan hanya alami sengal pada tangan.

“Saya dan suami pun dah suntik vaksin. Dari awal lagi kami sudah beritahu anak-anak yang ia tidak sakit dan perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Mereka yang ada penyakit juga tak perlu bimbang dan saya nasihatkan agar bersikap positif dalam menerima suntikan vaksin,” katanya.

Ibu kepada empat anak berusia 9 bulan hingga 11 tahun itu berkata, pengalaman satu keluarganya dijangkiti Covid-19 juga membuatkan dia merasakan semua orang perlu mengambil vaksin demi kesihatan semua.

Katanya, beliau bersyukur kerana ketika disahkan positif Covid-19 sebelum ini, sudah divaksin yang memungkinkan gejala dialami tidak teruk.

“Saya percaya dengan vaksin membuatkan jangkitan Covid-19 yang dialami tidak teruk apabila hanya mengalami demam biasa dan jalani kuarantin di rumah.

“Walaupun saya ada penyakit tekanan darah rendah, saya bersyukur kerana keadaan saya tidak teruk seperti sesetengah orang dan saya percaya ia adalah kerana kesan vaksin sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here