Kadar Bantuan Wang Ihsan dinaikkan kepada RM1,000 – Ismail Sabri

0
1

KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau lain-lain bencana diisytihar oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat JPBP dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Kinabalu, hari ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan menaikkan kadar bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Katanya, inisiatif BWI dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

“Ini antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November 2021 sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan.

Ismail Sabri berkata, dalam lawatan kerja rasmi ke Sabah hari ini, beliau memgumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada negeri itu berjumlah RM18,241,250 bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara.

Peruntukan itu, katanya, adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), Pembelian 2,500 unit C-Tent(RM 961,250), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(RM20,000), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan Pengurusan operasi Covid-19 di Sabah (RM16,000,000).

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban.

“Atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah:
i. Pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana. Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

ii. Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas.

“Pada masa sama, saya menasihatkan semua pihak yang terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

“Semua agensi terlibat juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan melibatkan badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu-individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here