PERDANA Menteri berjanji memberi perhatian terhadap isu berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak dan menyelesaikannya menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap permasalahan akan diperhalusi melalui rundingan Majlis Khas MA63 dipengerusikannya dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg serta lapan menteri Persekutuan.
“Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.
“Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia, hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion bagi Sabah, manakala RM4.47 bilion bagi Sarawak dengan hasrat untuk melihat kemakmuran negara dikongsi bersama.
Katanya, ia bakal disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), yang akan dibentangkan di Parlimen 27 September ini.
“Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah memulihkan sektor ekonomi negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik.
Selain itu, katanya, infrastruktur dan kemudahan asas turut diberi tumpuan dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.
Beliau berkata, kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian internet berkelajuan tinggi.
“Bagi mencapai hasrat ini, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi.
“Sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion, dan Sarawak RM4.09 bilion,” katanya.
Katanya, JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang. – Malaysiapost

