KPMG bayar RM333 juta bagi penyelesaian 1MDB

0
2

KEMENTERIAN Kewangan mengumumkan KPMG akan membayar RM333 juta (AS$80 juta) kepada kerajaan Malaysia bagi memenuhi semua tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1MDB untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu membuktikan tekad kerajaan meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak terlibat dalam 1MDB dan entiti berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung di dalam skim global 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penyelesaian itu akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai lalu terhadap KPMG.

Katanya, ia akan mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB tertunggak dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

“Penyelesaian dengan KPMG bernilai lebih daripada 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

“Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya serta individu yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB,” katanya.

Kementerian Kewangan juga menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguat kuasa terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here