
JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau berkuat kuasa esok.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu ini dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta selaras pengumuman kerajaan berkaitan Peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, bagi solat Jumaat di kawasan PPN Fasa 2 melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pihaknya menetapkan bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 500 orang.
Menurutnya, bilangan jemaah di tujuh Masjid Zon dan Masjid Kariah pula dibenarkan seramai 250 orang.
“Selain itu, bilangan jemaah di surau Jumaat dibenarkan seramai 150 orang manakala bilangan jemaah di surau diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat dibenarkan seramai 100 orang.
“Bilangan jemaah di surau Jumaat dan surau Diberi Kebenaran Khas untuk mendirikan Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dibenarkan seramai 80 orang.
“Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak lebih bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak lebih jemaah solat fardu bagi kuliah lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi solat fardu, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 200 orang.
“Bilangan jemaah di tujuh Masjid Zon dan Masjid Kariah dibenarkan seramai 100 orang. Bilangan jemaah di Surau Jumaat dibenarkan seramai 50 orang dan bilangan jemaah di Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat dibenarkan 50 orang.
“Jumlah jemaah di Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat di PPR dan PA DBKL serta semua surau dibenarkan seramai 40 orang,” katanya.
Tambahnya, jumlah jemaah bagi solat Jumaat di semua Masjid Zon, Masjid Kariah, Surau Jumaat, dan Surau di kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 Labuan pula, dibenarkan separuh kapasiti sebenar.
“Manakala bilangan jemaah bagi solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama,” katanya. – Malaysiapost
